Pegawai KPDNHEP memeriksa alat jangka suhu tiruan yang ditemui dalam operasi di dua buah lokasi berasingan. Foto: Ihsan KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 166 unit alat jangka suhu (termometer) disyaki tiruan berjenama terkenal di dua lokasi berasingan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, termometer itu dijual secara dalam talian dengan menggunakan cap dagang berdaftar pemilik syarikat pengeluar barangan itu.

Katanya, operasi membanteras dijalankan oleh KPDNHEP Selangor selepas menerima maklumat dan aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berkenaan.

Kedua-dua operasi ini dijalankan hasil maklumat dan aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar yang mendapati terdapat peniagapeniaga menjual termometer disyaki tiruan di tapak pasar dalam talian.

“Modus operandi peniaga ini ialah dengan mengiklankan termometer menggunakan jenama popular di pasaran dengan harga yang lebih murah dari pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Nizam, serbuan dilakukan di sebuah premis kediaman di Klang, Selangor yang menemui 100 unit alat tersebut manakala, 66 unit lagi ditemui di dalam sebuah gudang di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Katanya, kesemua barang tersebut disita dan keterangan dua orang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik-pemilik premis terbabit telah diambil.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,720, tambahnya.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan barang- barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika disabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” katanya.

Dalam pada itu Shamsul Nizam memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menghormati harta intelek orang lain.

Tegasnya, mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan itu melalui saluran rasmi di Portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245
atau Whatsapp di 019-279 4317,” tambahnya. – MalaysiaGazette