Peniaga, Ismail Jusoh menonton Perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mensenai Pemulihan Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Raja Boat, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan untuk membentang Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara melebihi majoriti dua pertiga.

“Bagi tujuan itu juga, kerajaan juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam perutusan khasnya hari ini.

Sebagai mengiktiraf peranan pembangkang sebagai semak dan imbang, saraan dan kemudahan untuk ketua pembangkang akan diberikan keistimewaan.

“Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

“Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Jelasnya, kerajaan juga akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Ia sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang lebih efektif,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

“Untuk itu, satu RUU Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” katanya.

Bagi menjamin ketelusan, kerajaan juga akan membentangkan rang undang-undang perbekalan yang akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen.

“Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada seorang ahli Parlimen pun ada sokongan majoriti – Muhyiddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast