Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam melakukan pemeriksaan keatas pekerja kilang dalam satu operasi serbuan Op Patuh di sebuah kilang plastik yang dipercayai melanggar arahan MITI dan membuat pengistiharan palsu sebagai perkhidmatan perlu ketika di sekitar Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR –Mana-mana syarikat dalam sektor pembuatan tidak disenaraikan dalam perkhidmatan perlu di kawasan dalam negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan beroperasi berkuatkuasa esok.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mereka hanya boleh beroperasi pada kadar kapasiti berdasarkan tahap peratusan pekerja yang mendapat vaksin lengkap.

Dalam satu kenyataan sebentar tadi, kata MITI, kelonggaran ini adalah untuk syarikat dalam sektor pembuatan disenaraikan sebagai sektor perkhidmatan perlu di kawasan negeri Fasa 1, 2 dan 3 PPN.

“Operator yang mempunyai tahap peratusan pekerja lengkap divaksinasi antara 80 hingga 100 peratus dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Untuk  majikan yang pekerjanya mencapai kadar vaksinasi lengkap antara 60 hingga 79 peratus dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus manakala majikan yang mempunyai 40 hingga 59 peratus pekerjanya sudah divaksin, mereka boleh boleh beroperasi pada kapasiti 60 peratus,” kata kenyataan itu.

Semua syarikat itu perlu membuat pengisytiharan kadar vaksinasi lengkap pekerja yang sebenar dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

“Hanya selepas pengisytiharan, syarikat boleh secara terus memuat turun surat kelulusan beroperasi yang baharu. Akses ke CIMS 3.0 untuk pengisytiharan ini adalah terhad kepada sektor pembuatan sahaja,” jelas MITI.

Dalam pada itu, jelas MITI, pengesahan kadar vaksinasi pekerja akan dibuat melalui semakan dengan pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Juga verifikasi secara berkala akan dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa terhadap syarikat-syarikat sektor pembuatan. -MalaysiaGazette