Bekas Datuk Bandar bebas reman dengan bersyarat

JOHOR BAHRU – Bekas Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang didakwa terlibat kegiatan rasuah dilepaskan daripada ditahan reman secara bersyarat.

Kebenaran itu diberikan Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Majistret Reman, Johor Bahru setelah permohonan  dibuat peguam bela Datuk Bandar itu, Omar Kutty dan Hazza Khalid.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), permohonan dibenarkan beserta syarat iaitu suspek dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 tanpa deposit beserta seorang penjamin.

Tambahnya, individu itu juga perlu hadir melapor diri pada tarikh yang ditetapkan ke pejabat SPRM.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sumber memaklumkan, suspek lelaki berusia 60 tahun yang ditahan SPRM Cawangan Batu Pahat itu disyaki melakukan kesalahan rasuah ketika menjawat jawatan Datuk Bandar PBT yang lain sebelum ini.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP sewaktu menjadi Datuk Bandar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast