Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen diingatkan supaya sentiasa memikirkan nasib rakyat dengan tidak menjadikan jawatan yang disandang sebagai satu kemegahan untuk kepentingan peribadi.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ahli Parlimen harus melihat bahawa jawatan mereka itu satu tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.

“Senario politik tanahair berubah lagi dek kerana sekumpulan wakil rakyat menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Persoalaannya, adakah wajar kerajaan dijatuhkan pada waktu kes harian Covid-19 berada pada lingkungan 20,000 kes sehari? Adakah nafsu serakah politik melangkaui keprihatinan kepada rakyat?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Shahir berkata, beberapa hari mendatang pastinya akan menjadi satu keadaan paling kritikal dalam memastikan kerajaan baharu dapat dibentuk serta stabil tanpa diganggu gugat ahli-ahli Parlimen yang mempunyai agenda sendiri.

Ujarnya, DPIM yakin dengan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil langkah seterusnya agar politik negara dapat distabilkan dan fokus diberikan dalam usaha membendung pandemik Covid-19.

“DPIM turut menyarankan agar PDRM bersiap-siaga dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terkawal.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu memainkan peranan agar tiada usaha memberi dan menerima habuan politik dalam usaha melobi jawatan Perdana Menteri.

“DPIM mendoakan agar Perdana Menteri yang bakal dilantik merupakan seorang yang prihatin keadaan rakyat, tanpa menggunakan kedudukan itu untuk PRU-15,” katanya. – MalaysiaGazette