Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut telah membuka sebanyak 25 kertas siasatan berhubung kes pemerasan sindiket panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan seks di media sosial.

Antara media sosial yang digunakan Facebook, Wechat, Michat, Line dan Tinder.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua kes itu direkodkan sejak Januari hingga semalam melibatkan kerugian berjumlah RM150,000.

Jelas beliau, semua kes berkenaan membabitkan mangsa lelaki berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun.

“Bagi tawaran langganan seks, suspek akan meminta mangsa melakukan pembayaran tertentu sebagai pendahuluan sebelum diarah membuat pembayaran tambahan.

“Sekiranya mangsa enggan mengikuti arahan, suspek akan mengugut memuat naik gambar mangsa di media sosial selain menghantar video orang yang dicederakan sebagai amaran perkara sama akan berlaku kepada mangsa.

“Bimbang sesuatu berlaku, mangsa akan mengikuti semua arahan suspek sehingga mereka mengalami kerugian dalam jumlah yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Soffian, bagi kes panggilan video lucah pula, suspek akan menggunakan wanita untuk mengumpan mangsa sehingga bogel sebelum video itu dirakam bagi tujuan ugut.

“Jika ugutan yang dilakukan tidak dipeduli mangsa, suspek akan menghubungi mangsa menggunakan beberapa nombor telefon tempatan atau asing yang berbeza bertujuan menakut-nakutkan mangsa.

“Bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa suspek akan memaksa mangsa melakukan pembayaran menerusi Razer Gold dan PayPal,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut, Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan untuk tujuan pemerasan dan Seksyen 233 Akta Kesalahan Multimedia dan Komunikasi 1998.

Justeru Soffian menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menggunakan apa-apa jua aplikasi atas talian serta tidak terpedaya dengan tawaran perkhidmatan seks serta langganan urut atas talian. – MalaysiaGazette