Arjunaidi (tengah) menunjukkan rampasan dadah lebih 100 kilogram dengan menumpaskan dua sindiket dadah jadikan Lembah Klang sebagai pasaran utama dilumpuhkan dalam serbuan pada 6 dan 8 Ogos lalu di tiga buah negeri.

SHAH ALAM – Dua sindiket dadah yang menjadikan Lembah Klang sebagai pasaran pengedaran utama berjaya dilumpuhkan dalam beberapa operasi polis.

Operasi itu berjaya merampas dadah syabu anggaran seberat 108.09 kilogram bernilai RM3.89 juta menerusi beberapa siri serbuan di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Ketua polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, operasi itu diadakan pada 6 dan 8 Ogos lalu oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Katanya, hasil serbuan itu berjaya menahan seramai 17 individu termasuk tiga wanita berusia 26 hingga 65 tahun disyaki ahli sindiket tersebut.

“Berdasarkan risikan dan maklumat pasukan polis mendapati kedua-dua sindiket itu telah beroperasi antara enam bulan hingga setahun dan bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di Lembah Klang.

“Pasukan Narkotik Bukit Aman melakukan serbuan pertama bermula pukul 3 petang di sebuah kawasan perumahan Batu Caves, Gombak dan hasilnya menahan tiga lelaki selain merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berserta 97 bungkusan hijau tertera perkataan Guanyinwang disyaki syabu seberat 100.74 kilogram.

“Kemudian empat lagi suspek berjaya dicekup di kawasan Gombak, Selayang dan Cheras.

“Selepas itu, dalam serbuan dua hari iaitu pada 8 Ogos lalu pula menyaksikan 10 individu ditahan di kawasan meletak kenderaan sebuah pasar raya di Ampang dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media kejayaan kes ini secara maya hari ini.

Wang tunai yang dirampas dari penahanan dua sindiket dadah aktif di Lembah Klang dalam operasi serbuan berasingan pada 6 dan 8 Ogos lalu di tiga negeri.

Tambah beliau, hasilnya pemeriksaan polis berjaya merampas tujuh bungkusan plastik sama berisi dadah disyaki syabu anggaran seberat 7.35 kg.

Berdasarkan serbuan tersebut, polis juga berjaya menyita 11 buah kenderaan disyaki milik kesemua suspek yang dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah masing-masing jenis Toyota seperti Caldina, Velfire dan Audi A6, serta BMW.

Selain itu, 24 akaun bank bersama 12 barangan kemas dan wang tunai yang nilai keseluruhan mencecah RM1.43 juta juga dirampas.

Arjunaidi berkata, kesemua dadah itu adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan boleh dibekalkan kepada 216,180 pengguna.

Menurutnya, 12 suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah selain enam daripadanya dikesan positif dadah jenis opiate, Tetrahydrocannabinol dan syabu.

Kesemua mereka kini sedang direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette