resignation resign Speaker of Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. Perikatan Nasional PN majority support Muhyiddin face mask MP Members of Parliament MPs
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menjadi perdana menteri kesembilan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam sepucuk surat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat berkata, surat akaun itu hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya esok, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4 petang untuk perhatian Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong.

Serahan surat akaun itu perlu dibuat melalui faks, emel atau salinan pdf melalui aplikasi Whatsapp.

Surat akuan tersebut tidak mempunyai format tertentu tetapi ia perlu mempunyai butiran-butiran seperti berikut:

1. Identifikasi Yang Berhormat yang secukupnya;
2. Identifikasi yang secukupnya seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan oleh Yang Berhormat;
3. Penyataam kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat;
4. Tandatangan Yang Berhormat;
5. Tandatangan serta cop rasmi saksi, sama ada seorang peguambela dan peguamcara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding bagi Yang Berhormat yang berada di luar negara; dan
6. Tarikh surat akuan.

Azhar melalui surat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat berkata, serahan tangan tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih di kawasan Fasa 1 dan juga mengelakkan penularan Covid-19.

Tegasnya, mana-mana surat akuan yan tidak mematuhi perkara-perkara yang dinyatakan atau diterima lewat, ia tidak akan diambil kira.

Katanya, surat akuan itu bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ia susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Azhar turut mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan. – MalaysiaGazette