Foto Instagram Eina Azman.

KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Eina Azman mendedahkan dia sebenarnya mengalami masalah kesihatan selepas hamoir seminggu tidak berkongsi sebarang aktiviti di laman sosialnya.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman memberitahu, dia baru sahaja menjalani pembedahan di leher di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun pelakon berusia 26 tahun itu enggan mendedahkan butiran lanjut dan hanya memaklumkan penyakit yang dialami itu masih tidak hilang biarpun sudah empat kali melakukan pembedahan.

“Alhamdullilah selepas enam jam saya dah bangun. Ramai yang WhatsApp dan DM tanya kenapa saya tak ada update apa-apa di Instagram dan masih terlalu ramai yang nak tahu saya sakit apa.

“Sejak akhir-akhir ini saya kurang sihat. Saya dah pernah buat biopsy sebanyak empat kali di leher sejak tahun 2016 sehingga hari ini. Dan sakit saya masih tak hilang,” tulisnya.

Eina turut memuat naik foto memperlihatkan keadaan terkini selepas menjalani pembedahan.

Sementara itu itu, Eina berharap pembedahan kali ini merupakan yang terakhir dan penyakitnya akan sembuh sepenuhnya.

“Hari ini saya berjaya buat pembedahan selepas dua tahun sebab biopsy yang saya buat beberapa kali sebelum ini masih bengkak dan sakit.

“Harap selepas pembedahan ini, sakit saya akan hilang selamanya… doakan saya,” ujarnya.

Sebelum ini, nama Eina pernah menjadi panas apabila didakwa memotong giliran ketika pemberian vaksin di Hospital Raja Permairusi Bainun Ipoh, Perak.

Namun pengarah hospital itu tampil menafikan dakwaan memotong giliran sebaliknya pemberian vaksin kepada Eina dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmit Abdullah berdasarkan rujukan doktor pakar.

Eina dan suaminya menerima vaksin pada 25 Mei di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak berdasarkan masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi mereka. – MalaysiaGazette