Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hasil kutipan duti eksport minyak sawit mentah (MSM) bagi tempoh lima bulan tahun ini dianggarkan berjumlah RM564.82 juta, melonjak lima kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM11 juta.

Manakala kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta bagi tahun 2020, berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, kenaikan harga MSM telah memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit.

”Peningkatan harga MSM ini dilihat memberi lebih kesan positif kepada masyarakat. Secara prinsipnya, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak.

“Bagi memastikan peningkatan harga MSM dirasai semua kelompok masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga berkenaan dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa hadapan. Contohnya syor mewujudkan satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi,” katanya di sini.

Kementerian percaya, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.

Tambahnya, industri sawit negara mengekalkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia.

Pada tahun 2020, Malaysia mengeksport sebanyak 17.40 juta tan MSM atau 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia.

Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga telah meningkat kepada RM73.25 bilion pada tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada tahun 2019.

Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.

”Kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu,” ujar kementerian ini. – MalaysiaGazette