Maqis rampas 23 pokok keladi hiasan
JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 23 pokok tanaman keladi hiasan tanpa permit yang sah dari negara Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini awal pagi tadi.
Maqis Negeri Johor dalam kenyataan media berkata, kegiatan itu mula terbongkar selepas pihaknya bersama pihak JKDM menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di laluan lori import KSAB kira-kira jam 4.30 pagi.

“Hasil daripada pemeriksaan  lanjut yang dijalankan, menemui tanaman keladi hiasan yang dianggarkan bernilai RM 7,230 telah ditahan untuk siasatan lanjut.

”Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan Permit Import Maqis
dan sijil rawatan dari negara asal yang sah.
“Modus operandi mereka dengan menyembunyikan kesemua pokok tanaman keladi hiasan ke dalam tong ikan yang kosong dan bertujuan untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Untuk makluman, tanaman keladi hiasan yang ditahan adalah dari spesies Anthurium luxurians, Anthurium magnificum dan lain-lain lagi,” katanya.
Menurut kenyataan Maqis lagi, permintaan tinggi dalam kalangan penggemar tanaman tersebut menjadikan pengimport mengambil tindakan berani dengan menyeludup masuk spesies yang jarang ditemui di pasaran tempatan.
“Tanaman yang ditahan ini bernilai RM3,200 hingga RM3,800 seunit di pasaran tempatan.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import yang sah daripada Jabatan Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.-MalaysiaGazette