KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal Ebit Lew yang tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini berkata, fitnah gangguan seksual yang dilemparkan terhadapnya adalah melampau dan sangat kejam.
“Sememangnya fitnah yang sangat kejam dan melampau tapi saya reda. Saya serahkan semua kepada polis,” katanya ketika ditemui wartawan di hadapan pintu masuk Bukit Aman petang tadi.
Beliau ditemui selepas selesai memberi keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Ebit Lew yang berusia 36 tahun turut melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana menentukan segala-galanya termasuk dipanggil membantu siasatan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Katanya, beliau sentiasa bersedia membantu pihak polis yang menjalankan siasatan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa sepenuhnya berhubung perkara tersebut.
Ditanya nasihat beliau kepada pihak di luar yang menabur fitnah ke atasnya, Ebit dengan wajah penuh tenang, katanya ianya adalah satu pelajaran untuk dirinya sendiri.
Malah katanya, beliau percaya hidup ini hanya untuk disayangi oleh Allah.
“Saya maafkan sesiapa saja yang terjadi. Di luar sana mungkin boleh menilai sendiri. Saya maafkan semua sekali dan maafkan sesiapa saja apa yang terjadi membuatkan saya semakin bersemangat.
“Saya juga akan meneruskan usaha saya membantu dan kebaikannya sampai bila-bila sampai saya mati,” ujarnya.
Sementara itu, peguamnya Datuk Haznal Rezua Merican berkata, setakat ini tidak wujud keperluan untuk Ebit datang semula menyambung keterangan.
“Kenyataan telah dirakam selama sejam setengah tadi tanpa masalah dan memberikan sepenuh kerjasama membantu siasatan polis,” katanya. – MalaysiaGazette