Muhammad Sanusi (tengah) ketika meninjau kawasan banjir di Yan semalam. - Gambar ihsan pejabat MB

YAN – Kerajaan negeri Kedah hari ini mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai kawasan bencana tahap satu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua agensi kerajaan dan badan berkanun berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan.

Muhammad Sanusi. – Gambar ihsan pejabat MB

“Pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan yang mencukupi bawah penyelarasan MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi tuntut merakamkan rasa dukacita ekoran kejadian banjir kilat dan serangan ‘kepala air’ di kedua-dua daerah khususnya sekitar kaki Gunung Jerai yang telah meragut beberapa korban dan menjejaskan kehidupan penduduk kawasan itu.

“Saya bagi pihak pimpinan Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tadbir mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih dengan setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian itu.

“Kerajaan Negeri akan berusaha dengan sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk yang terjejas.

“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, para petugas kerajaan dan juga sukarelawan yang turun membantu di lapangan agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di persekitaran kita,” ujar beliau.

Semalam, lebih 20 rumah penduduk di lima kampung sekitar Gurun dan Merbok, dilanda banjir kilat kesan fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, lima kampung terbabit ialah Kampung Baru, Kampung Sungai Badak dan Kampung Sungai Kunyit Atas di Gurun, manakala Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu di Merbok.

Fenomena kepala air dan banjir ini sempat dirakamkan penduduk yang tular di media sosial yang menyaksikan kemusnahan kepada kediaman, jalan raya dan kenderaan selain menyebabkan pokok tumbang. – MalaysiaGazette