KLANG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menyampaikan faedah kepada waris penghantar makanan GrabFood yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Shah Alam pada 11 Ogos lalu.
Faedah PERKESO tersebut merangkumi Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan telah disampaikan Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO, Azhar Md. Nadzri kepada waris mangsa di kediamannya di Kampung Baru 2, Jalan Kebun, dekat sini, hari ini.
Menurut Azhar, pihaknya menerusi Skuad PERKESO Prihatin mengetahui berita kematian pencarum, Muhammad Nazirul Mubin Mat Nazir menerusi media sosial dan segera membuat semakan, sama ada Allahyarham ada membuat caruman atau tidak.
Katanya, selepas mendapati ada dua caruman PERKESO di atas nama arwah iaitu ketika bekerja sebagai Operator Pengeluaran menerusi Skim Bencana Pekerjaan dan juga sebagai penghantar makanan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), pihaknya terus menghubungi waris terdekat Allahyarham bagi membuat penyerahan faedah.
“Kita dimaklumkan Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan dengan sebuah lori pada 11 Ogos lalu. Ketika itu, Allahyarham sedang bekerja dengan membuat penghantaran makanan.
“Oleh kerana arwah masih bujang ketika meninggal dunia, maka faedah ini diberikan kepada ibu bapa dan adik-beradiknya yang berusia bawah 21 tahun,” katanya kepada media selepas menyampaikan Faedah Perkeso kepada waris arwah.
Turut hadir, Ketua Pegawai Komunikasi, Izad Raya, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Pejabat Perkeso Klang, Mohanadas Veraya.
Ditanya mengenai jumlah penerima di bawah SKSPS, Azhar berkata, sejak 2017 sehingga kini, Perkeso telah membelanjakan kira-kira RM4.2 juta untuk membayar faedah kepada 1,395 pencarum skim pekerjaan sendiri.
Kata beliau, jumlah itu melibatkan pencarum yang layak di seluruh negara dengan pencen itu dibayar setiap bulan kepada pewaris mangsa sama ada ibu, bapa dan adik-beradik berusia bawah 21 tahun jika ketika kejadian pencarum masih bujang.
“Bagi pencarum yang sudah berkeluarga, pencen itu akan dibayar kepada isteri atau suami dan anak-anaknya. Bayaran adalah untuk seumur hidup bagi ibu, bapa, isteri dan suami atau adik beradik sehingga berusia 21 tahun.
“SPS Lindung adalah bantuan Kerajaan di bawah Belanjawan 2021 berbentuk pembiayaan penuh seratus peratus Pelan Caruman Kedua SKSPS Perkeso.
“Skim ini menyediakan perlindungan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan untuk tempoh perlindungan selama setahun,” katanya.
Beliau berkata, skim itu juga menyediakan faedah tunai seperti FOT yang dibayar kepada tanggungan OBS sekiranya mereka meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.
“Menerusi skim ini, ia turut menawarkan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan Latihan vokasional kepada OBS yang ditimpa musibah ketika bekerja.
“Bagi Pencen Penakat pula, adalah faedah Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) PERKESO meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
“Antara syarat Pencen Penakat ialah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: