KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berdepan tugas berat untuk memacu kembali pertumbuhan pertumbuhan ekonomi ke tahap terbaik.
Ke arah itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Putrajaya (DPPM Putrajaya) berpandangan bahawa penjawat awam khasnya mereka yang berada diperingkat pengurusan perlu memberikan sokongan kepada Ismail Sabri agar kemelut yang dibawa pandemik Covid-19.
“Mereka ini perlu merasai denyut nadi pemain industri dan bukan melihat kepada Prosedur Operasi Stardard (SOP) yang saya kira perlu dirungkai kembali bersesuaian dengan suasana dan desakan industri demi membantu perkembangan ekonomi yang cepat.
“Sebagai contoh jika SOP sekarang memerlukan 14 hari kelulusan, maka tempoh ini perlu dipendekkan kepada 1 minggu atau secepatnya.
“Jika ini dapat diubah, DPPM Putrajaya yakin dan percaya ianya dapat mempercepatkan proses pemulihan dan ransangan ekonomi,” kata Setiausahanya, Kamaruzaman Mohamad.
Dalam pada itu, DPPM Putrajaya berharap pertukaran Perdana Menteri yang baharu ini akan membawa kepada satu perubahan yang baik di masa akan datang.
Jelas Kamaruzaman, pihaknya menyeru agar kakitangan kerajaan segera menyelesaikan kemelut pemain industri ini dan membantu mempercepatkan kelulusan permohonan agar mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
“Bayangkan jika enam bulan permohonan tiada jawapan maka bagaimana mereka mahu merancang operasi syarikat.
“Kakitangan kerajaan khasnya di peringkat pengurusan hendaklah mesra industri dan sehabis baik membantu bagi mengatasi sebarang kelewatan kelulusan permohonan,” katanya lagi.
Selain itu juga, DPPM Putrajaya mencadangkan kepada pihak kerajaan agar segera melihat permasalahan para kontraktor dari Gred G1 sehingga G7 yang mengeluh ketiadaan projek dan harga barang seperti simen dan besi yang semakin tinggi.
Kata Kamaruzaman, keadaan ini pasti akan menjejaskan kontrak golongan terbabit, malah proses pemilihan kontraktor perlu dipercepatkan dan kerja-kerja cabutan undi perlu dipraktikkan segera agar sentiasa telus dan dapat mengelakkan dari elemen rasuah.
“Bagi kerja-kerja yang telah tamat atau hampir tamat, pihak kerajaan boleh menyambung kembali kerja-kerja tersebut tanpa perlu menender semula dan ini dapat mengelakkan banyak pergerakan dikalangan kakitangan awam di pejabat. Seharusnyalah penyambungan ini diberi kepada kontraktor yang menunjukkan kemampuan menyempurnakan projek tersebut,” katanya lagi.