KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau bersedia untuk melawat Singapura dan bertemu rakan sejawatnya Lee Hsien Loong bagi membincangkan hubungan erat dua hala yang terjalin sejak sekian lama.

Semasa mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah Lee kepadanya atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Ismail Sabri berkata dalam perbualan ringkas hari ini, beliau telah turut mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Singapura ke-56 yang telah disambut pada 9 Ogos.

Ismail Sabri berkata, dalam perbualan telefon itu, beliau juga turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus mempererat lagi hubungan dua hala bersama Singapura, selain meneroka potensi baharu dalam pelbagai bidang demi kepentingan kedua-dua negara.

Ismail Sabri berkata demikian dalam catatan Facebook rasminya di sini malam ini.

Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu (21 Ogos).

Terdahulu Kementerian Luar Singapura menyatakan Lee dalam surat ucapan tahniahnya kepda Ismail Sabri telah menjemput rakan sejawatnya yang baharu itu untuk membuat lawata rasmi ke Singapura.

Dalam surat yang turut diedarkan kepada media, Lee menyatakan yang beliau yakin Malaysia akan terus maju di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

— BERNAMA