Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas rasmi di pejabatnya di Putrajaya hari ini.- Gambar FB Ismail Sabri.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kesembilan secara rasmi hari ini.

Kenderaan yang membawa beliau memasuki Perdana Putra jam 8.23 pagi menggunakan pintu protokol dan beliau sambil melambai ke arah media yang berkampung sejak jam 7 pagi tadi.

Menyambut Ismail Sabri di pintu masuk pejabatnya adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di bangunan Perdana Putra Putrajaya bagi menjalankan tugas pada hari pertama selepas dilantik menjawat jawatan Perdana Menteri di Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2021.

Beliau dijadualkan akan memulakan tugas rasminya hari ini dengan mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya di tingkat lima Perdana Putra.

Ahli Parlimen Bera itu diangkat sebagai Perdana Menteri pada Sabtu lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di bangunan Perdana Putra Putrajaya bagi menjalankan tugas pada hari pertama selepas dilantik menjawat jawatan Perdana Menteri di Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2021.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang Sabtu.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan (SD).

Mengikut SD berkenaan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Untuk rekod, Ismail dijadual akan mengadakan lawatan ke Merbok dan Kuala Muda, Kedah yang kedua-duanya telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap Satu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ismail Sabri mulakan tugas rasmi PM hari ini