Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan kediamannya untuk menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Tropicana Golf Country Club, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat meninggalkan kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort di sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) membawanya bersama kenderaan dan motosikal polis pengiring bergerak meninggalkan lokasi pada jam 7.54 pagi.

Beliau sempat menurunkan tingkap kenderaan dan menegur para petugas media yang menunggu di luar pintu gerbang utama  kediaman itu.

Ismail Sabri Yaakob akan memasuki Pejabat Perdana Menteri hari ini bagi memulakan tugas sebagai pemimpin nombor satu dalam pentadbiran kerajaan dan dijangka mengimbas perakam waktu pukul 8.30 pagi.

Selepas itu, beliau akan berlepas ke Kedah bagi meninjau keadaan di Yan yang dilanda banjir minggu lalu

Semalam, Ismail Sabri menyampaikan perutusan pertamanya kepada rakyat Malaysia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke sembilan.

Ahli Parlimen Bera itu menghabiskan kira-kira empat jam pada hari pertamanya di Pejabat Perdana Menteri Kompleks Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. – MalaysiaGazette