KUALA LUMPUR – Pertengahan bulan Ramadan yang lalu, Che Pah telah dikejutkan dengan berita sedih yang tidak duga sama sekali. Usai solah terawih dan moreh bersama keluarga, Che Pah duduk disalah sebuah ruang tamu rumah Che Pah.
Hajat dihati mahu membuka Instagram yang sudah lebih seminggu Che Pah tidak buka. Biasanya pada bulan Ramadan memang Che Pah hadkan masa bermedia sosial.
Bukan apa, bimbang terleka. Media sosial ini bukan boleh dilayan sangat. Tak jadi kerja dibuatnya nanti. Berhantu kalau melayankan dia.
Selesai jari jemari runcing Che Pah menekan butang Instagram, terpampang berita yang dimuatnaik oleh seorang sahabat Che Pah.
Apa yang dimuatnaik Yazlan Datuk Yahya melalui Instagramnya buat Che Pah terdiam sebentar. Seolah-olah tidak percaya.
Getus hati Che Pah, betulkah berita yang aku baca ini?.Che Pah gosok mata beberapa kali. Mungkin aku tersalah baca, kata hati Che Pah cuba mengelak dari mengakui berita yang dibaca.
Che Pah tenung semula bait kata kata yang dimuatnaik.. Ia berbunyi… Al Fatihah.. Legend. Sg Penchala.. Budak baik hati mulia.
Disertakan juga sekeping gambar insan yang di maksudkan. Che Pah kenal benar wajah itu. Mana mungkin Che Pah lupa insan yang pernah menabur jasa.
Ya, memang benar Shahidan Saad telah tiada. Dia telah kembali ke hadhrat Ilahi. Pergi meninggalkan ramai orang yang mengasihi dan mengenali diri nya.
Che Pah lantas menghubungi pemilik kafe Sambal Hijau Noor Aini Abdul Majid, 41, untuk mendapatkan kepastian.
Pemilik kafe ini orang terbaik untuk Che Pah dapatkan pengesahan. Dia antara orang yang paling rapat dengan Shahidan. Shahidan bertunggu bertangga di kafe dia.
Beliau yang mesra Che Pah panggil dengan panggilan Ain pantas menjawap salam yang Che Pah hulur melalui whatssupnya.
Che Pah bertanyakan Ain apakah benar berita yang Che Pah baca.
“Betul Che Pah. Shahidan meninggal malam semalam dan telah selamat dikebumikan petang tadi,” kata Ain mengimbau perbualan lalu.
Che Pah lantas bertanya lanjut akan punca kematian Shahidan. Kata Ain, Shahidan memang punya penyakit asma. Shahidan didapati meninggal dunia dalam tidur.
Mesti awak semua tertanya tanya siapa Shahidan yang Che Pah maksudkan bukan? Mengapa dia seorang yang sangat penting buat Che Pah dan warga Sungai Penchala?
Shahidan bukanlah golongan kaya ternama. Bukan juga Pak Menteri mahupun selebriti. Tapi namanya cukup terkenal bagi penduduk Sungai Penchala dan mereka yang sering atau pernah menikmati hidangan di kafe Sambal Hijau.
Dia seorang orang kelainan upaya(OKU). Dia lembam. Dia tidak punya pendidikan yang tinggi. Jauh sekali menjawat jawatan yang boleh dipuji.
Namun dia punya sekeping hati. Hati yang bersih lagi disinari nur Ilahi. Dia orang yang bertanggung jawab menjaga trafik sekitar pasar awam di Sungai Penchala.
Kala waktu terluang dan hujung minggu, dia menawarkan diri untuk menjaga trafik kereta pelanggan yang mengunjugi kafe Sambal Hijau.
Dek kerana tugas ikhlas tanpa mengharap balasan atau gaji inilah yang membuat ramai menitiskan air mata kala dia pergi.
Kata Aini, dia mula mengenali Shahidan sejak tahun 2004 lagi. Waktu itu Shahidan gemar berulang alik di depan kafenya.
Setiap kali lalu, Shahidan tak lekang menyapa sambil tersenyum riang menghiasi wajahnya. Bermula dengan sapaan, Shahidan kemudian memberani diri datang berbual dengannya dan suami Azrul Shah Mohd Isa, 46.
Bermula dari situ, Shahidan mula mesra dengannya dan kaki tangan Sambal Hijau. Ain juga sudah menganggap Shahidan seumpama keluarganya juga.
“Tanpa disuruh Shahidan membantu Ain untuk menjaga trafik keluar dan masuk kereta pelanggan menuju ke kawasan tempat letak kereta.
” Bermula dari situ semakin ramai pelanggan yang mengenali dia. Nama dia pun mula meniti dari bibir ke bibir pelanggan, “tambah Ain sambil mengesat air mata yang mula membasahi pipinya.
Kata Ain lagi, Shahidan tidak pernah minta upah.Pelanggan yang datang biasanya gemar memberi dia tips selepas dia memudahkan mereka.
Selesai menjaga trafik, dia akan duduk dan makan. Dia akan ambil sahaja makanan yang dia suka. Tiada siapa dikalangan pekerja Sambal Hijau akan menghalang. Mereka semua sudah faham.
Che Pah bertanya lagi, sebenarnya dari mana asal usul Shahidan dan bagaimana dia boleh membawa diri mencari rezeki di Sungai Penchala.
Ain memjelaskan, Shahidan sebenarnya berasal dari Pulau Pinang. Dia datang ke Sungai Penchala untuk berkerja dengan keluarga angkat yang membuka restoran.
Setiap bulan Shahidan juga mengaku yang dia menghantar duit kepada orang tua di kampung.
Che Pah terkesima mendengarkan lantunan kata kata Ain.Seorang yang dikatakan lembam dan di pandang sebagai tidak sempurna, terselit sebuah sifat yang sangat mulia.
Che Pah punya pengalaman tersendiri dengan Shahidan. Che Pah tak pernah tahu nama dia. Setiap kali ke Sambal Hijau, Che Pah hanya memanggil dia dengan panggilan Adik.
Shahidan banyak membantu Che Pah. Sebenarnya sekali dua dalam sebulan Che Pah akan menghantar stok kerepek sambal goreng kentang Al Habshee untuk dijual di Sambal Hijau.
Setiap kali terlihat kereta Che Pah masuk, Shahidan akan cepat cepat membantu trafik. Dia akan tahan sebentar kereta yang lain bagi memberi ruang kereta Che Pah masuk.
Dia bantu Chge Pah angkat stok yang ada. Dia panggil Che Pah dengan panggilan Kakak. Entah kenapa panggilan yang biasa itu sangat terasa keikhlasannya dihati Che Pah.
Benarlah kata pujangga, kata kata ikhlas yang dari hati itu pasti jatuh ke hati jua. Dan begitulah dengan Shahidan. Ikhlas dalam panggilan, ikhlas dalam menghulur tangan.
Selesai dia membantu mengangkat stok, dia kembali kepada tugasan menjaga trafik. Bila diajak makan dia enggan. Banyak kerja katanya.
Sebelum pulang, biaasanya Che Pah akan menghulurkan tips bagi menghargai jasa Shahidan. Tips Che Pah disambut dengan senyuman gembira.
Itu yang membuat Che Pah sukar melupakan Shahidan. Bagi orang lain mungkin dia bukan siapa siapa. Akan tetapi buat Che Pah, dia insan tersangat istimewa. Kerana apa?. Kerana keikhlasan dia.
Dan pada malam Che Pah mendapat berita kematian Shahidan, air mata ini berlinangan tanpa dapat ditahan lagi.
Sedih benar hati ini. Lepas ini, jika Che Pah ke Sambal Hijau maka tiada siapa lagi akan bantu menjaga trafik. Tiada siapa lagi yang akan menolong untuk mengangkat stok kerepek.
Bagi penduduk Sungai Penchala, hilang sudah sosok Shahidan yang berdiri tercegat di tengah jalan menjaga trafik di pasar.
Tiada lagi celoteh Shahidan. Tiada lagi kelihatan basikal yang lalu lalang sambil dihiasi bendera negara setiap kali kita menyambut Hari Kemerdekaan
Khabarnya, pada hari pengurusan jenazah Shahidan, masjid bersebelahan Sambal Hijau penuh sesak. Seorang kaya ternama bergelar Datuk menyumbang wang bagi membayar proses pengurusan jenazah sehingga dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Penchala.
Petang sewaktu urusan pengebumian dijalankan, hari seolah olah menangisi pemergian Shahidan. Hujan renyai mengiringi jenazah Shahidan ke pusara.
Kasih sayang penduduk Sungai Penchala terhadap Shahidan amat ketara dengan terpampangnya kain rentang yang memaparkan wajah Shahidan serta rintihan rasa mereka atas kehilangannya.
Semoga, Shahidan tenang di sana. Semoga juga keikhlasan Shahidan membantu Che Pah dan warga Sungai Penchala dan setiap hamba Allah yang mengunjugi Sambal Hijau dibalas Allah dengan nikmat syurga dan RedhaNya.
Shahidan membuktikan kepada kita bahawa menghulur tangan serta menaburkan jasa sesama manusia itu tidak memerlukan kita menjawat jawat Menteri mahupun Ahli Parlimen.
Kita cuma perlu punya rasa ikhlas serta kemanusiaan sesama . Apa guna punya title kala menang pilihan raya namun tanggung jawab serta amanah tidak dijaga.
Shahidan melangkau segala norma yang biasa. Dia buktikan yang golongan marhaen itu boleh melekat dihati sesiapa sahaja jika kita ikhlas membantu tanpa mengharapkan apa apa.
Mari kita sama sama menghadiahkan Al Fatihah buat Mohd Shahidan bin Saad. – MalaysiaGazette