KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan diperkukuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Perkara itu selaras dengan Ketetapan Port Dickson pada 19 April lalu.
“Majlis Presiden hari ini mengulangi komitmen bahawa PH sebagai gabungan politik akan diperkukuh di bawah kepimpinan Anwar selaku pengerusi.
“Segala persiapan menuju PRU-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon serta strategi untuk memenangi mandat rakyat,” kata kenyataan bersama kepimpinan utama PH iaitu Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat hari ini yang rata-ratanya membincangkan isu politik dan keadaan semasa tanah air.
Jelas tiga pemimpin utama PH itu lagi, isu penularan wabak Covid-19 terus merisaukan dengan jumlah kes baharu dan angka kematian harian yang tinggi.
Malah kata mereka, usaha pemberian vaksin Covid-19 juga perlu dipertingkat oleh kerajaan.
“PH turut risau akan masalah ekonomi semasa termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi,” kata kenyataan yang sama.
Dalam pada itu, Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu juga menegaskan, PH akan menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang dengan mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘khemah besar’ berdasarkan agenda reformasi dan kepentingan rakyat.
“PH juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa eksekutif terus dilaksana,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette