PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membentuk Kabinet yang lebih “langsing” dan memastikan para menteri dapat menunjukkan imej kerajaan yang berintegriti.
Sinchew Daily melaporkan, Jemaah Menteri dijangka diperkecilkan dengan kementerian tertentu akan digabungkan.
Menurut akhbar itu, Ismail Sabri telah mula mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti untuk mengumpulkan cadangan calon yang dikemukakan.
Sumber berkata, senarai nama menteri dijangka diumumkan selewat-lewatnya Selasa supaya mesyuarat Kabinet pertama dapat diadakan pada Rabu.
Perebutan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pula hangat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu setiausaha agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diberi jawatan itu.
Walaupun UMNO dilaporkan sudi memberi laluan kepada Bersatu, tetapi masih terdapat suara berlainan dalam parti yang mahu UMNO turut diberi jawatan TPM.
“Walaupun Kabinet akan diperkecilkan, tetapi setakat ini belum tahu sama ada akan diwujudkan dua jawatan TPM untuk mengimbangkan kuasa pelbagai pihak,” kata sumber.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika dihubungi Sinchew Daily enggan mengulas tentang ura-ura pembentukan Kabinet baharu.
“Tak ada apa-apa berita setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette