Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Sidang DUN Pahang penggal ke-4 bermula hari ini di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan satu kebanggaan kepada rakyat Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO itu.

“Pelantikan ini amat membanggakan terutamanya kepada kita di bumi Pahang. Dengan pelantikan ini, sudah tiga anak jati negeri ini diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Bermula dengan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dari tahun 1970 hingga 1976, anakandanya, Datuk Seri Najib dari tahun 2009 hingga 2018 dan kini Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya semasa pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini.

Menurut Wan Rosdy, Ismail Sabri juga pernah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri semasa pemerintahan sebelum ini.

“Ini terutamanya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang pada 7 Julai kepada Perdana Menteri pada 21 Ogos, atau dalam tempoh 45 hari sahaja,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN :

Berbahas secara rasional, utama kepentingan rakyat – Pemangku Raja Pahang

Pahang tanggung kos pengurusan jenazah Covid-19

Ujar Wan Rosdy, menerusi jawatan-jawatan yang disandang di kementerian-kementerian sebelum ini, Ahli Parlimen Bera itu tentunya cukup berpengalaman termasuk pengalamannya mengendalikan isu wabak pandemik Covid-19.

Manakala daripada segi perjalanan politik khususnya UMNO, pengalamannya  luas dan beliau kini ialah naib presiden parti dan pernah seketika menjalankan tugas-tugas sebagai timbalan presiden parti.

“Pada awal karier politiknya, beliau pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987 kemudian berjaya meningkatkan diri kepada kedudukan Ketua Penerangan UMNO Bahagian pada tahun 1988.

“Selain itu, beliau menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian pada tahun 1993 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada 2001.

“Apabila UMNO Bahagian Bera diwujudkan, beliau menjadi Ketua UMNO bahagiannya yang pertama dan pada tahun 2004 beliau bertanding seterusnya menang dan menjadi Ahli Parlimen pertama Bera – kawasan parlimen baharu diwujudkan ketika itu,” katanya selepas titah perasmian pembukaan Sidang DUN oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.

Terdahulu,  Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyempurnakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tepat pukul 9.55 pagi.

Persidangan DUN mesyuarat pertama penggal ke-4 bermula 23 Ogos sehingga 26 Ogos ini (SOP) yang ketat diketuai Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad. – MalaysiaGazette