Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan menanggung kos bagi kerja-kerja pengurusan jenazah wabak pandemik Covid-19

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bersedia menggangung kos tersebut sambil mengalu-alukan sumbangan semua pihak untuk membantu.

“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi semalam memutuskan perkara tersebut sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri akibat beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga waris.

“Semua pengurusan jenazah berkaitan Covid-19 diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital-hospital terbabit dengan menggunakan khidmat badan-badan sukarelawan.

“Badan-badan sukarela ini pula mengenakan kadar bayaran tertentu kepada keluarga waris, bagi kerja-kerja mengkafan, tayammum, solat, menggali kubur dan pengkebumian, selain menyediakan kain kafan, keranda dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Pahang hari ini.

Dalam pada itu, sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah Covid-19 ditubuhkan dan  dikendalikan oleh JAIP.

“Dengan keputusan MMK Negeri semalam, badan-badan sukarela berkenaan kini boleh menuntut bayaran tersebut daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya di masjid-masjid daerah berkenaan.

“Sebagai permulaan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telahpun bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas ini.

“JAIP akan meminta semua masjid di negeri ini untuk turut membuat kutipan khas dalam kalangan kariah masjid masing-masing,”. – MalaysiaGazette