PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

JEMPOL – Seorang pekerja am warga Bangladesh terpaksa berputih mata selepas kerugian RM28,200 akibat ditipu ejen kiriman wang ke luar negara menerusi laman Facebook, pada akhir Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa dia melihat sebuah iklan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara menerusi pemilik akaun Facebook bernama ‘Anika Topup’.

Katanya, pengadu yang tinggal di Ladang Bahau itu berminat dengan tawaran berkenaan kemudian berurusan dengan individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

“Lelaki berkenaan mahu menghantar wang kepada keluarganya di Bangladesh, telah melakukan sebanyak lima kali transaksi ke beberapa akaun bank berjumlah RM28,200 bermula 7 hingga 11 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hoo berkata, mangsa menghubungi keluarganya di Bangladesh pada 14 Ogos dan dimaklumkan tidak menerima sebarang wang daripada ejen berkenaan.

Beliau berkata, pengadu terus menghubungi ejen tersebut namun dimaklumkan perlu membuat pembayaran sebanyak RM5,000 bagi urusan insurans dan sekiranya gagal membuat pembayaran tersebut wang milik mangsa tidak dipulangkan kepada keluarganya.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama