MAH Pulau Pinang menyampaikan bakul makanan kepada penggiat industri hotel sekitar negeri ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan gelembung pelancongan kepada penggiat industri negeri itu, seperti mana yang diumumkan bagi Langkawi sebelum ini.

Pengerusinya, Raj Kumar berkata, gelembung pelancongan itu perlu khususnya buat pemilik hotel di kawasan Batu Feringghi memandangkan pengusaha hotel kawasan pantai itu kehilangan pendapatan yang mendadak berbanding pengusaha hotel di bandar.

Raj Kumar.

Jelas beliau, kawasan lapang di hotel pantai sekitar Pulau Pinang sesuai dengan saranan kerajaan untuk menempatkan orang awam sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

“Gelembung pelancongan Langkawi lebih tertuju ke arah pantai mengapa keistimewaan itu tidak diberikan kepada hotel sekitar Feringghi. Apa salah Feringghi?

“Batu Feringghi selalu diketepikan sedangkan Pulau Pinang salah satu negeri yang menyokong pelancongan dan kita berada di tangga kedua atau ketiga dalam menjana ekonomi kepada negara dari segi pelancongan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel St Giles Wembley, di sini, hari ini.

Terdahulu, MAH Pulau Pinang menyampaikan bakul makanan kepada penggiat industri hotel sekitar negeri ini.

Mengulas lanjut, Raj Kumar berkata, pihaknya berharap kerajaan baharu akan mempertimbangkan permintaan tersebut memandangkan hotel di kawasan pantai kehilangan pendapatan yang mendadak akibat wabak Covid-19.

“Dekat Pulau Pinang kita mempunyai tiga katogeori hotel iaitu hotel koporat, warisan (heritage) dan hotel pantai.

“Bagi hotel pantai mereka kehilangan pendapatan ekoran tiada pelancong luar negeri ditambah pula perlu menjaga kemudahan hotel termasuk alam sekitar berhampiran untuk memastikan keunikan hotel itu terpelihara walaupun tiada perniagaan berlangsung.

“Jadi saya harap kerajaan faham keadaan itu dan memberi ruang untuk Pulau Pinang terutamanya di bahagian pantai untuk turut sama dalam gelembung pelancongan seperti mana diumumkan buat Langkawi,” kata beliau.

Pada 15 Ogos lalu, media melaporkan kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan tersebut penting untuk kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik tersebut. – MalaysiaGazette