REALITINYA, semua manusia yang normal lagi rasional sangat mencintai kebebasan dan
bercita-cita mendapatkannya, sudah pasti membenci perhambaan, penjajahan dan
berusaha untuk memecahkan belenggu itu. Ketika kebebasan telah diraih, anginnya telah menyebarkan hembusan yang menyegarkan, tentu sekali tiada seorang pun mahu kembali ke dalam sangkar yang mengurung hingga membataskannya melakukan apa saja.
Begitulah yang boleh digambarkan tentang sebuah kemerdekaan yang setiap tahun
disambut dengan penuh kesyukuran bahawa negara yang kita cintai ini, telah meraihnya
sejak 64 tahun yang lalu. Dengan meraikannya, ia sebagai tanda menyatakan kebahagiaan, kegembiraan dan bagi mengenang jasa para pejuang yang telah gigih berjuang mendapatkan kemerdekaan. Namun, persoalan yang cukup besar perlu dijawab, adakah benar kita sudah merdeka?
Tangan-tangan yang mencetuskan
Memang benar, penjajah telah keluar dari tanah air kita ini. Perjuangan para pejuang negara telah terealisasi dan bendera ‘kebebasan’ telah megah berkibar. Namun dalam ruang-ruang kemerdekaan yang kita pertahankan, masih terdapat tangan-tangan jahat mencetuskan suasana tidak harmoni, dengan mengganggu-gugat perpaduan yang telah dipupuk oleh generasi terdahulu.
Barangkali ada yang tidak menyedarinya. Pelbagai kontroversi dan persepsi dihamburkan
agar keadaan yang sejahtera, aman dan damai itu diragut. Api perkauman dan ketidakpuasan antara kaum sering terjadi. Pihak-pihak tertentu mencetuskan keadaan tersebut bagi memenangkan pihaknya, tidak terkecuali melalui parti politik.
Hal itu seperti tidak ada kesudahannya. Masing-masing seakan mempertahankan apa yang diideologikan, walaupun adakalanya seakan ingin menyimbah, membakar status perkauman dan bangsa.
Tangani sebelum parah!
Keadaan ‘traffic’ di media sosial berhubung sesuatu isu sering disalahertikan, yang mana
selalu menyentuh kaum, bangsa dan agama seseorang itu apabila berlakunya perkara yang tidak selari lagi tidak diingini atau bertentangan dengan sesuatu yang terjadi.
Pendek kata, semua itu wajar diberikan perhatian agar ia tidak berlarutan hingga
mencetuskan ketidakharmonian di negara yang kita cintai ini. Sejarah panjang telah melakarkan bagaimana sebuah kemerdekaan yang ingin dicapai sangatlah sukar. Maka, seharusnya, kita sebagai warganegara ini mempertahankannya dengan sesungguhnya.
Sebagaimana menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, makna merdeka itu ialah bebas
daripada penjajahan, dan makna bebas itu pula ialah tidak terhalang atau terkongkong
dengan sesuatu, yang boleh kita ertikan dalam pelbagai sudut kehidupan. Adakah segalanya itu telah kita capai dan raih dengan sebaiknya?
Telusuri maknanya penuh penghayatan
Hakikatnya, berapa ramai yang benar-benar faham juga menghayati makna sebenar
merdeka dan kemerdekaan itu? Adakah ia sekadar retorik pengisahan sejarah semata-mata, yang dipamerkan berulang-ulang setiap tahun apabila tiba bulan Ogos? Atau ia sekadar peringatan agar semua tidak lupa dan terlepas pandang daripada menyambutnya saban tahun?
Realitinya, ia bukan sekadar itu sahaja. Tetapi jauh lebih dalam, ia wajar dihayati maknanya dan mengaplikasikannya dalam kehidupan sebagai warganegara, masyarakat, rakyat mahupun sebagai seorang manusia. Yang sering difahami, merdeka itu bebas daripada penjajahan fizikal, tiada ‘orang asing’ yang menakluk tanah ini.
Akan tetapi, ketahuilah bahawa merdeka daripada penjajahan itu tidak mutlak sifatnya.
Boleh saja kita ambil contoh, berapa banyak negara yang mencapai kemerdekaan secara
fizikal, tetapi masih lagi dibelenggu secara bukan fizikalnya.
Apatah lagi, akibat dek kecanggihan teknologi dewasa ini, ia telah menjadi ancaman
penjajahan baharu terutamanya dalam bentuk budaya, ideologi juga persepsi. Walaupun penjajah sudah lama meninggalkan tanah bertuah ini, tetapi budaya dan pemikiran mereka masih kental subur pada setiap aspek bernegara daripada sistem politik,
ekonomi mahupun sosial.
Menurut Tan Sri Zainal Abidin Ahmad, maksud merdeka ialah berubah daripada segala
perbuatan dan kepercayaan yang bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan
kemajuan.
Minda dan jiwa masih terjajah?
Beliau yang dikenali sebagai Za’ba ‘Patriot Terbilang’ menyatakan, kemerdekaan sebenar
ialah kemerdekaan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri, dibentuk oleh empat aspek utama iaitu agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak). Jadi, aspek
terpenting di antara keempat-empat itu ialah agama.
“Hanya dengan agama sahajalah jiwa manusia akan mengecapi kemerdekaan yang
sebenar,” kata Za’ba. Jelasnya lagi, hanya ajaran dan amalan agama yang benar akan memerdekakan manusia daripada bertaklid dan pasrah secara membuta tuli kepada mana-mana makhluk.
Dalam masa yang sama, agama juga menjadi pengimbang kepada penggunaan rasional akal secara berlebihan. “Justeru, dalam membetulkan segala kekurangan atau kelemahan, elemen islah (pembaikan) berdalilkan al-Quran yang bersendikan akal juga ilmu pengetahuan sentiasa ditekankan.”
Tentunya dengan memahami tentang kemerdekaan itu sendiri, ia mampu mendidik dan
memupuk pemikiran yang lebih rasional, ideal di samping berusaha memerdekakan jiwa-
jiwa manusia. Justeru, sebenar-benar merdeka yang dapat dihuraikan ialah kita bebas daripada segala perkara yang merosakkan akal dan minda, juga memelihara keharmonian dan kerukunan antara kaum, bangsa dan agama di negara ini.
Elemen-elemen yang mengundang keburukan kepada keharmonian dan perpaduan,
seharusnya dibuang jauh agar negara merdeka ini terus kekal selamanya. Selain itu, dengan membebaskan jiwa dan minda daripada segala doktrin yang sesat serta
melampau, ia mampu mewujudkan erti merdeka yang sebenar yang bukan pura-pura.
Memerdekakan diri daripada kebodohan dan kebobrokan penguasa yang melampau,
pemimpin yang mengampu itu juga adalah sebuah perjuangan yang perlu diteruskan.
Kembalikan kemerdekaan yang sejati dalam diri rakyat seharusnya diteruskan demi
generasi yang lebih baik, insya-Allah.
Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Merdeka apa tendang keluar pulau tanah Melayu kepada majority kaum asing dan beri kerakyatan negara kecil sekangkang kera ini kepada para talibarut dan askar PKM yang ditubuhkan dan dibiayai sekian lama oleh Tanah Besar Komunis Cina sehingga 1989. Demi keadilan pelarian dan pati lebih layak dapat kerakyatan negara kecil sekangkang kera ini. Beri visas cukuplah.
Syabas Azeris ambil balik Nogorno,-Karabah dan Palestine enggan tendang keluar Jerusalem kepada majority kaum asing.