Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara-negara maju yang didalangi tiga lelaki warga Pakistan dalam satu operasi khas di Kuala Lumpur dan Seri Kembangan pertengahan Ogos 2021.Gambar Ihsan jabatan Imigresen Ibu Pejabat Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara-negara maju yang didalangi warga asing berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya tiga lelaki warga Pakistan.

Ketiga-tiga suspek  dicekup dalam satu operasi khas yang telah dilaksanakan oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada 16 dan 17 Ogos lalu di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor setelah menjalankan risikan selama tiga bulan memantau pergerakan mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi ini, tiga lelaki Pakistan itu berusia antara 32 hingga 56 tahun didapati menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen berkenaan.

“Dua suspek daripadanya ditahan semasa sedang melaksanakan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di kawasan komersial di Setapak dan berpandukan maklumat mereka membawa pasukan operasi ke sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan, pada 17 Ogos lalu sebelum menahan suspek ketiga yang disyaki pembuat dokumen palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara-negara maju yang didalangi tiga lelaki warga Pakistan dalam satu operasi khas di Kuala Lumpur dan Seri Kembangan pertengahan Ogos 2021.Gambar Ihsan jabatan Imigresen Ibu Pejabat Putrajaya.

Tambah Khairul, hasil semakan dalam sistem jabatan Imigresen mendapati dua suspek adalah pemegang pas lawatan sosial yang telah tamat tempoh dan seorang lagi suspek memiliki pas lawatan sosial jangka panjang yang disyaki palsu.

Justeru tangkapan berkenaan juga berjaya mendedahkan modus operandi sindiket dengan menyewa premis di kawasan perumahan mewah untuk dijadikan markas serta tempat kediaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket dokumen palsu ini menggunakan aplikasi media sosial aplikasi WhatApps serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan, menetapkan pertemuan dan lain-lain transaksi.

“Siasatan awal juga mendapati sindiket berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa dan lesen memandu dan dokumen ini akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.

“Sindiket ini memberi fokus kepada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah frequent traveller ke negara-negara berkenaan,’ ujarnya.

Tegasnya, sindiket itu turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun yang lalu dan kebanyakan pelanggan pemalsuan PLKS terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kedai.

Khairul Dzaimee memberitahu, kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket kepada pelanggan ialah sebanyak RM100 hingga RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran yang dikenakan bagi dokumen-dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport adalah dalam kadar RM100 hingga RM1000.

Pihaknya turut menemui sebanyak 2, 320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer desktop, dua buah mesin pencetak, satu mesin laminate, satu pasport reader, lima keping stamping plate pelbagai negara, 20 unit Silk Screen Frame pelbagai negara dan satu unit Silk Screen Printing Table serta dua buah kereta jenis Honda Civic dan Proton Waja.

“Pihak kedutaan negara-negara terbabit telah mengesahkan dokumen-dokumen yang dirampas adalah palsu dan salah seorang suspek utama juga pernah diusir dari Kanada pada tahun 2008 atas kesalahan imigresen,” katanya.

Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, Permit, Pas atau Kelayakan di bawah Akta yang memperuntukkan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara antara 5 hingga 10 tahun serta dihukum sebat sehingga enam sebatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast