Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan senarai anggota Kabinet petang ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahag jam 11 pagi tadi dijangka kembali ke ibu negara 2 petang ini.

Ismail Sabri dipercayai menghadap Al-Sultan Abdullah bagi mempersembahkan senarai nama anggota jemaah menteri yang bakal melengkapi Kabinet beliau sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, pengumuman jemaah menteri akan dibuat menerusi satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, anggota jemaah menteri yang dilantik dijangka mengangkat sumpah esok.

Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu, 21 Ogos lalu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan kerana hilang majoriti.

Beliau mengimbas kad perakam waktu di Pejabat Perdana Menteri pada Isnin dan memulakan tugas pertama melawat mangsa banjir di Yan, Kedah selepas itu.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette