Sime Darby Property

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatatkan rekod jualan sebanyak RM1.3 bilion untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2021.

Prestasi itu menyaksikan peningkatan sebanyak 83.9% berbanding jualan sebanyak RM712.5 juta yang dicapai dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Pada separuh tahun pertama 2021 Sime Darby Property mencatatkan peningkatan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai masing-masing 42.8% dan 227.4% kepada RM1.1 bilion dan RM152.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM80.5 juta yang direkodkan merupakan peningkatan yang kukuh berbanding kerugian pada separuh pertama tahun lalu sebanyak RM90.3 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, syarikat akan mengambil langkah berjaga-jaga dalam separuh kedua 2021 untuk mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif sepanjang tahun kewangan ini.

Usaha akan ditumpukan kepada pengukuhan operasi dan kedudukan kewangan bagi memastikan ketahanan syarikat.

”Kami sedang mempercepatkan kepelbagaian pendapatan syarikat melalui segmen produk lot dan tanah perindustrian yang kini merangkumi sebanyak 17.8% daripada portfolio jualan Sime Darby Property.

”Ini digandingkan pula dengan fokus Syarikat dalam melancarkan projek-projek di lokasi yang strategik pada titik harga yang tepat, penciptaan nilai baharu melalui pengurusan bank tanah
(land bank) dan pengurusan kos yang bewaspada bagi baki tahun kewangan ini,” kata Azmir.

Tambahnya, kedudukan kewangan Sime Darby Property kekal kukuh dengan baki tunai berjumlah RM698.3 juta setakat 30 Jun 2021.

Syarikat juga berjaya menjana aliran tunai dan kendalian yang masing-masing positif sebanyak RM95.0 juta dan RM13.3 juta, serta memastikan nisbah hutang bersih kekal rendah berbanding industri pada kadar 30%..

Mengulas prospek tahun ini, Azmir berkata, separuh kedua tahun ini dijangka lebih mencabar bagi Sime Darby Property terutamanya disebabkan cabaran operasi daripada pelaksanaan PKP yang berterusan.

Walaupun sektor hartanah telah dibenarkan untuk kembali beroperasi pada akhir Julai 2021, proses untuk mengembalikan momentum operasi Syarikat akan mengambil masa memandangkan kerja-kerja perlu dijalankan di bawah SOP yang ketat.

Sime Darby Property akan berusaha untuk mencapai sasaran jualan RM2.4 bilion, disokong dengan prestasi jualan separuh pertama 2021 yang kukuh sebanyak RM1.3 bilion.

Nilai pembangunan kasar bagi pelan jualan separuh kedua tahun ini adalah RM2.1 bilion.

Selain itu, katanya, jualan belum dibil berjumlah RM1.8 bilion setakat 30 Jun 2021 menunjukkan potensi syarikat dalam meningkatkan perolehan masa hadapan.- MalaysiaGazette