Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bersyukur kerana kerajaan memerintah kini kembali diketuai UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga bersyukur kerana beliau ada menyumbang sedikit kepada sehingga parti kembali menerajui kerajaan.

“Saya rakamkan ucapan tahniah di atas pembentukan barisan Kabinet oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Harapannya pasukan ini akan melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat kerana itulah yang ditunggu oleh semua.

“Saya pastinya bersyukur kerana UMNO BN kembali menerajui kerajaan. Dan saya dapat sedikit menyumbang hingga UMNO kembali menerajui serta membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jaga rakyat kerana itu adalah keutamaan.

“Kepada Allah kita berserah. Kerana Dia yang mengatur semuanya. Alhamdulillah,” katanya.

Terdahulu, semasa kemelut pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Shamsul Anuar dan seorang lagi menteri, Datuk Noraini Ahmad dari UMNO meletakkan jawatan.

Bagaimanapun Noraini kembali dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi selepas Kabinet baharu dibentuk Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Jawatan lama Shamsul Anuar kini dipegang oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada Pas. – MalaysiaGazette