Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

TAWAU – Kerajaan Sabah perlu menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penghantaran vaksin di negeri itu.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kadar vaksinasi di negeri berkenaan berada di kedudukan yang tercorot namun kes jangkitan harian Covid-19 pula semakin meningkatkan.

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai membimbangkan dan menakutkan.

“”Sebagai kerajaan yang memerintah, seolah-olah tiada usaha yang dilakukan untuk mencari apa sahaja jalan memastikan rakyat Sabah divaksinasi.

“Tiada gesaan daripada mereka untuk meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penghantaran vaksin ke negeri ini.
Kerajaan yang bertanggungjawab dan mengambil berat akan melakukan apa sahaja untuk memastikan Sabahan dilindungi daripada virus ini berbanding perlu menjalani kehidupan sambil dibayangi perasaan takut untuk dijangkiti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar Mohd Shafie, kerajaan negeri yang diterajui oleh Datuk Hajiji Noor bertanggungjawab untuk melaksanakan apa sahaja inisiatif demi memastikan warga Sabah dilindungi daripada virus dengan mempercepatkan pemberian vaksin.

“Lebih 15 bulan telah berlalu sejak pandemik virus korona (Covid-19) melanda Sabah dan kini kadar jangkitan semakin meningkat.
Sabah kini berada di tempat kedua bagi jumlah jangkitan positif tertinggi di negara ini, namun masih di kedudukan terakhir dalam jumlah penduduk yang telah divaksin.

“Sehingga semalam, 26 Ogos 2021, jumlah kes positif mencecah 3,487 manakala statistik menunjukkan sejak bulan lalu purata mingguan jangkitan di Sabah meningkat sebanyak 266 peratus,” tambah Ahli Parlimen Semporna itu lagi.

Beliau turut mendakwa penggunaan ventilator untuk pesakit berumur 60 tahun dan ke atas kini semakin terhad kerana diberikan kepada pesakit muda mempunyai peluang sembuh yang lebih tinggi.

Dengan kapasiti hospital yang didakwanya membimbangkan, bekas Ketua Menteri Sabah itu mencadangkan agar lebih banyak pusat rawatan dibina di Kem Tentera Lok Kawi dan Pelabuhan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sepanggar.

“Beberapa pesakit yang kritikal dan diberi bantuan oksigen di atas katil pula ditempatkan di kawasan terowong hospital untuk menunggu dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi).

“Terdapat lebih daripada cukup ruang di kedua-dua lokasi ini sebagai hospital alternatif, malah mereka juga mempunyai doktor sendiri untuk membantu. Kenapa GRS tidak mempertimbangkan membina pusat rawatan ini? Kenapa mereka tidak mengambil tindakan?” soalnya.-MalaysiaGazette