KUALA LUMPUR – Orang ramai berharap pelantikan barisan Kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mengutamakan soal kebajikan rakyat serta meningkatkan taraf ekonomi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata rakyat juga menyambut baik pelantikan Kabinet baharu yang kebanyakannya mengekalkan muka sama seperti kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.
Seorang pekerja swasta, Athirah Dilah, 27, berpendapat rakyat perlu terus memberikan sokongan terhadap barisan Kabinet yang baru dibentuk bagi membolehkan dasar-dasar yang akan dirancang dapat dijalankan sebaiknya.
“Bagi saya yang lama (Kabinet) pun bagus juga, sekarang ini Kabinet baharu pun sudah dibentuk jadi kita sebagai rakyat kena bagi sokongan dan bersatu padu terutamanya ketika tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai teraju baharu di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Athirah berharap ahli Parlimen Rembau tersebut dapat menjalankan tugas beliau dengan cemerlang.
“Usaha beliau dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memang konsisten dan saya sebagai rakyat turut bersetuju dengan pelantikannya sebagai menteri KKM, di harap beliau dapat menerajui sebaiknya portfolio yang diamanahkan,” ujarnya.
Turut senada, seorang pekerja swasta, Nazrin Nasir, 32, menyifatkan pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan baharu sebagai bertepatan dengan suara rakyat yang mahu mantan menteri Mosti itu dikekalkan dalam barisan Kabinet.
“Kebanyakan kementerian yang diterajui oleh KJ mendapat ‘feedback’ yang baik dari rakyat, sekarang ini beliau telah dilantik untuk mengetuai KKM jadi kita memang harapkan yang terbaik. Sebelum ini ketika beliau di Mosti yang bertanggungjawab menguruskan pemberian vaksin, kita dapat lihat sendiri pengagihan memjadi semakin pantas dengan kebanyakan rakyat di negara ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 mereka.
“Mengenai pemilihan muka baharu iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya sebagai anak muda amat mengharapkan beliau dapat membawa ‘new vibes’ kepada arena sukan tanah air walaupun sebelum ini beliau tidak pernah berada di dalam Kabinet,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam, Riduan Abd Wahab, 46, berkata, tumpuan harus diberikan terhadap ekonomi rakyat selain usaha untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.
Menurut Riduan, pelantikan muka baharu atau muka lama bukan perkara yang perlu dipertikaikan namun rakyat mahu melihat bagaimana caranya kerajaan baharu ini menangani masalah Covid-19.
“Sebagai rakyat, harapan saya kepada pelantikan kabinet baharu ini supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih bertanggungjawab terutamanya membabitkan kebajikan rakyat ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 selain lebih berusaha untuk mengatasi masalah Covid-19 serta meningkatkan taraf ekonomi,” katanya.
Semalam, seramai sembilan muka baharu menteri dan timbalan menteri diumumkan oleh Ismail Sabri bagi menganggotai barisan Kabinet beliau.
Antaranya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Manakala antara muka-muka lama yang bertukar portfolio adalah Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan baharu menggantikan Datuk Seri Adham Baba yang bakal menerajui Mosti. – MalaysiaGazette