Antara barangan dan pakaian berlogo polis yang dirampas selepas dua suspek ditahan menerusi serbuan di Kampung Klang Gate Baharu semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan kegiatan samun dalam beberapa siri serbuan di Kampung Klang Gate Baharu semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, suspek yang merupakan warga tempatan berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sekitar pukul 10.30 malam.

Menurut beliau, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai disamun oleh suspek dalam kejadian di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 16 Ogos lalu.

Ketika kejadian, motosikal mangsa telah ditahan oleh suspek yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai seorang anggota polis, sebelum bertindak mengambil wang tunai RM700, telefon bimbit serta pelbagai dokumen peribadi.

“Hasil beberapa siri serbuan yang dijalankan semalam, polis berjaya merampas pelbagai jenis telefon bimbit, barangan peribadi milik mangsa samun, pakaian berlogo Polis Diraja Malaysia, uniform, logo, songkok, gari serta topeng muka.

“Modus operandi yang digunakan oleh suspek untuk menjalankan kegiatan samun adalah dengan menyamar sebagai anggota polis dengan memfokuskan kepada individu yang dilihat bersendirian di kawasan sunyi atau kurang tumpuan orang ramai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara barangan dan kenderaan yang dirampas selepas dua suspek samun ditahan polis menerusi beberapa serbuan di Kampung Klang Gate Baharu semalam.

Tambah Mohamad Farouk lagi, setelah berjaya mendapatkan barangan berharga milik mangsa, suspek akan terus melarikan diri.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, hasil semakan lanjut turut mendapati suspek pertama mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi serta menyamar sebagai polis.

Manakala suspek kedua mempunyai 13 rekod lampau antaranya kes khianat, merusuh, curi kenderaan serta dadah.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan awal terhadap tangkapan, kita percaya dapat menyelesaikan satu kes di Ampang dan empat lagi kes di Gombak dan Setapak.

“Siasatan lanjut masih lagi diteruskan dalam mengenal pasti penglibatan suspek bagi lain-lain kes di dalam daerah Ampang atau di daerah lain,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 September depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun, Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk turut menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan keadaan sekeliling.

“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada modus operandi tersebut diminta tampil untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette