KUALA LUMPUR – Jaguh paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin menyifatkan pingat emas pertama negara yang diraihnya menerusi acara sukan powerlifting di kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 pagi ini sebagai hadiah kepada negara sempena Hari Kebangsaan.
Negara akan menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos ini.
“Pingat ini memang sangat penting untuk saya memandangkan ini kemunculan pertama saya dan telah buat persembahan yang terbaik.
“Ini sememangnya kenangan yang manis buat saya dan juga untuk menghadiahkan sempena Hari Kebangsaan kita,” katanya ketika ditemu bual secara atas talian di sini hari ini.
Bonnie memecahkan rekod Paralimpik dengan 228kg sekaligus meninggalkan pencabar terdekat Mahmoud Attia dari Mesir di tempat kedua (191kg) dan Micky Yule dari Great Britain di tempat ketiga (182 kg).
Mengulas lanjut, Bonnie, 22, turut berkongsi pengalaman sentiasa berhubung dengan keluarga yang mendorong dirinya mencapai kejayaan hari ini.
“Semalam sebelum tidur ada berhubung dengan keluarga, minta nasihat dan mendoakan saya untuk berjaya dalam hari ini jadi semuanya termakbul,” katanya lagi. – MalaysiaGazette