Beberapa buah kereta yang membawa ahli-ahli parlimen memasuki Pintu 2 Istana Negara bagi Istiadat Angkat Sumpah Anggota Kabinet di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang ini.

Sejak dari pukul 11 pagi lagi, pekarangan luar Pintu 2, Istana Negara menjadi tumpuan pengamal media bagi melaporkan perkembangan terkini istiadat mengangkat sumpah jawatan tersebut yang berlangsung pada jam 2.30 petang.

Kenderaan yang membawa bakal menteri dan timbalan menteri dilihat mula memasuki Isana Negara seawal pukul 1 petang tadi.

Kenderaan yang membawa menteri-menteri dan timbalan menteri kemudianya bertali arus memasuki Istana Negara, dengan ada di antara mereka menurunkan cermin tingkap sambil melambai ke arah petugas media.

Antara Ahli Parlimen yang dilihat hadir ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut memasuki Istana Negara melalui Pintu 2 ialah bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin yang tiba pada jam 1.49 petang.

Selang beberapa minit selepas itu, kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong dlihat memasuki Pintu 2 Istana Negara.

Difahamkan wakil-wakil ketua parti dalam kerajaan juga akan menghadiri istiadat itu hari ini.

Istiadat itu turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah anggota Jemaah Menteri kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini selepas disahkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Jumaat lalu, Ismail mengumumkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dibawah Kabinetnya yang mana  majoriti mereka adalah muka lama ketika era pentadbiran Muhyiddin. – MalaysiaGazette