KUALA LUMPUR – Dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan tampil membuat satu laporan polis bagi menyatakan hak mereka menolak suntikan vaksin Covid-19 yang mahu dilaksanakan terhadap pelajar sekolah lingkungan umur 12 hingga 17 tahun.
Seorang pelajar, Azrell Omar Azri Iskandar, 17, membuat laporan itu kerana tidak mahu mengambil vaksin yang disarankan kerajaan atas alasan bimbang jika berlaku apa-apa yang buruk terhadap dirinya.
Sebagai pelajar, dia mendakwa berhak menolak daripada menjadi bahan eksperimen dengan dicucuk vaksin dan apa yang berlaku terhadapnya selepas menerima imunisasi tidak dijamin oleh kerajaan.
Menurutnya, jika perkara buruk berlaku, ia menjadi tanggungannya sendiri dan ibu bapanya.
“Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan saya melalui suntikan vaksin yang masih lagi pada tahap ujian klinikal.
“Saya tak sanggup mempertaruhkan nyawa saya untuk ujian klinikal ini kerana ada pelbagai kaedah boleh dilaksanakan untuk mencegah Covid-19 iaitu melalui cara perubatan tradisional secara holistik iaitu rawatan homeopathi, makanan sunnah yang keluarga saya amalkan selama ini bagi mencegah penularan pandemik,” katanya.
Azrell Omar berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama adik perempuannya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati hari ini.
Menurut Azrell Omar, banyak isu keselamatan berkesanan dan kemudaratan berkaitan vaksin masih belum terjawab dan kandungannya juga wajar dipersoal dan perlu diselidik oleh pihak kesihatan dan kerajaan.
Azrell Omar serta adiknya telah ditemani oleh ibu mereka yang seorang pelakon, Ellie Suriaty Omar.
Azrell juga menambah dia telah menerima borang daripada guru sekolahnya untuk mengisi borang dan mendaftarkan diri dalam MySejahtera bagi mendapatkan vaksin.
“Dua minggu lalu kami dihantar borang menerusi Google Form oleh guru sekolah saya dan dalam borang berkenaan, kami (pelajar) diberitahu tiada siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin dan ibu bapa yang menerima keputusannya.
“Setakat ini, mereka tidak memaklumkan ada tindakan lanjut akan dikenakan sekiranya tidak mengisi borang atau mengambil vaksin.
“Malahan saya dan semua ahli keluarga belum mengambil vaksin sehingga kini termasuk ibu bapa saya kerana mereka berhak untuk menentukan sama ada mahu atau enggan mengambilnya,” ujarnya.
Menurutnya, tiada mana-mana individu memaksa dia dan adiknya untuk tampil membuat laporan itu sebaliknya ia dibuat atas kewarasan sendiri.
Kata beliau, semua maklumat berkaitan vaksin dan Covid-19 daripada Google termasuk membaca berita dari luar negara selain maklumat daripada ibu saya, ahli keluarga serta kenalan.
“Dari situ saya dapat menilai sendiri segala maklumat berkaitan pemberian vaksin yang diperoleh dan membuat keputusan untuk menolak disuntik vaksin.-MalaysiaGazette