Seorang lelaki parah ditetak dalam satu kejadian di Taman Merak Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

SIMPANG AMPAT – Seorang pekerja stor parah ditetak sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Taman Merak di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 7.20 malam ketika mangsa berusia 25 tahun itu sedang membeli laksa di sebuah gerai di tapak pasar malam kawasan tersebut.

Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.20 malam yang memaklumkan kejadian tersebut.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati mangsa didatangi enam lelaki bertopeng sebelum bertindak menetak mangsa.

Chong Chern.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan tetak pada kedua-dua tapak tangan, belakang kepala serta kesan toreh pada peha mangsa.

“Rakaman awal saksi yang mengenali mendakwa melihat mangsa sedang beli laksa sebelum tiba-tiba berlari masuk ke dalam kawasan tapak pasar malam sambil dikejar oleh berberapa lelaki yang memakai topeng muka.

“Saksi juga mendakwa melihat mangsa ditetak di tepi jalan semasa berlari dan masih diserang walaupun mangsa sudah terjatuh ketika dikejar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pihak polis dan forensik mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian.

Tambah beliau, semakan juga mendapati mangsa mempunyai tiga rekod lampau membabitkan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 akta yang sama.

“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

“Siasatan berhubung kes ini masih dilakukan termasuk menyiasat sama ada wujud penglibatan geng kongsi gelap atau sebaliknya,” kata Chong Chern.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette