Paris menggalakkan orang ramai menaiki kenderaan awam atau basikal. foto Reuters

PARIS – Pihak berkuasa Perancis berharap jalan-jalan di Paris akan menjadi lebih selamat, lebih tenang dan kurang kotor selepas had kelajuan baharu 30 km/j bagi pemandu kereta sudah mula berkuatkuasa.

Bandar ini menggalakkan penghuni-penghuninya berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam, kata Timbalan Datuk Bandar Paris, David Belliard ketika diwawancara melalui stesen radio franceinfo.

Had kelajuan baharu ini akan membantu mengurangkan pencemaran, kebisingan dan jumlah kemalangan serius, katanya.

“Ini bukan tindakan anti-kereta,” kata Belliard.

Had pemanduan 30 km/j sudah dikuatkuasakan sekitar 60 peratus kawasan Paris tetapi sekarang akan meliputi seluruh kota.

Walau bagaimanapun, beberapa jalan raya utama seperti Champs Elysees akan dikecualikan, dengan had kelajuan sedia ada 50 km/j.

“Kami mahu menghadkan (kenderaan) kepada perjalanan penting,” kata Belliard.

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, yang memenangi penggal enam tahun pada tahun 2020, telah membangunkan lorong basikal sejauh beberapa kilometer bagi menghapuskan penggunaan kereta diesel lama dan menjadikan Quais Seine bebas kereta.

Beliau juga mengurangkan tempat letak kereta di bandar dalam usaha untuk mengehadkan penggunaan kereta.

Dewan Bandaraya berkata, polis bertolak-ansur dalam menerapkan had laju baharu pada minggu-minggu pertama.

Bandar-bandar Perancis lain dengan had kelajuan 30 km/j termasuk Bordeaux, Strasbourg dan Toulouse. – Reuters