Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta melakukan siasatan dengan adil dan teliti terhadap kematian pengawal keselamatan, Thava Sagayam.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, polis juga perlu melakukan siasatan menyeluruh demi keadilan kepada mangsa.

Beliau yang sedih dengan berita kematian Thava berkata, isu ini dibangkitkan kerana isu kesihatan mental individu boleh mendorong seseorang bertindak tidak rasional.

Farhash juga meminta orang ramai untuk tidak terus berkongsi video kejadian tragis itu sebagai tanda hormat kepada keluarga mangsa.

”Perbuatan ganas harus dikutuk, tetapi pada masa yang sama, orang ramai harus menghormati proses undang-undang dan memberi masa kepada pihak berwajib untuk menyiasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Thava, 64, diserang oleh seorang lelaki di sebuah kondominium di Ipoh, Perak akhir tahun lalu selepas anak lelaki itu dilarang menggunakan kolam renang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

Warga emas itu meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat lalu selepas berbulan-bulan menderita pelbagai komplikasi akibat kecederaan yang dialami akibat serangan tersebut.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalthrash Wahid dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru (Sepsis).

Bagaimanapun susulan kematian Thava, polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut.

Mior berkata, kejadian itu dirakam oleh kamera litar tertutup dan tular baru-baru ini, berlaku pada 29 Disember 2020.

Polis telah memulakan siasatan ke atas lelaki itu di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tertuduh Noor Azhar Muhammad telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan dan kes itu dijadualkan disebut semula pada 9 September untuk menjatuhkan hukuman. – MalaysiaGazette