PUTRAJAYA – Kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri petang tadi bersetuju untuk memperkenalkan harga siling bagi set kit ujian kendiri Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya telah membincangkan perkara itu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Ada berita baik untuk rakyat kita, kita telah membuat keputusan dalam mesyuarat Kabinet hari ini untuk menetapkan harga siling untuk kit ujian rapid Covid-19.
“Harga siling itu sudah ditentukan kadarnya dan Alexander Nanta Linggi akan mengumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media perkembangan kes Covid-19 harian di kementeriannya hari ini.
Ketika ini kata Khairy, terdapat 11 jenis kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran tempatan yang diberikan kelulusan bersyarat oleh KKM untuk kegunaan orang awam.
Ahli Parlimen Rembau itu menambah kementerian juga meneliti untuk melaksanakan cadangan Dasar ujian Covid-19 Kebangsaan dalam masa akan datang.
Ujar beliau, dasar berkenaan dapat membantu negara dan rakyat ketika memasuki fasa endemik iaitu hidup bersama virus secara sihat dan selamat menjelang akhir Oktober ini.
“Sejurus selepas kita mamasuki epidemik berkenaan, sama ada kami divaksin atau pun tidak, kamu masih perlu menguji diri anda secara lebih kerap dengan set kit ujian Covid-19 yang disediakan.
“Atas sebab inilah kita mahu memastikan ujian kendiri Covid-19 lebih diakses dengan mudah dan senang diperolehi di mana-mana,” katanya lagi.
Menurut Khairy, fasa baharu endemik akan bermula sejurus selepas 80 peratus populasi dewasa divaksin sepenuhnya di negara ini.
Ujarnya, ujian kendiri Covid-19 itu lebih kerap itu akan disediakan kepada individu yang masih enggan mengambil vaksinasi.
“Mereka yang masih tidak mahu mengambil vaksin mungkin menjalani ujian kerap berjadual yang mereka perlu patuhi. Sama ada ia kit ujian rapid kendiri dan jika menunjukkan positif ia akan disahkan menerusi ujian calitan PCR,” tegas Khairy.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid- 19 (JKJAV) sehingga semalam memaklumkan sejumlah 34,752,340 dos telah diberikan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 64.2 peratus atau 15,032,301 orang dewasa telah menerima vaksin penuh sementara 84.3 peratus lagi atau 19,741,754 telah menerima dos pertama.-MalaysiaGazette