KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan kembali mengetuai pengurusan pandemik Covid-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau diberi tanggungjawab itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan sidang Khas MKN hari ini untuk menilai dan memperkemaskan SOP yang diumumkan dari semasa ke semasa sebelum ini.
“Saya sempat menggalas tanggungjawab ini selama beberapa minggu sebagai Menteri Kanan Luar Negeri sebelum ini.
“Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya sebentar tadi adalah untuk menilai dan memperkemas SOP yang telah diumumkan sebelum ini.
“Saya percaya, ini adalah kerja yang berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif. Saya sentiasa berbesar hati dan bersedia untuk membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hishammuddin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah menyatakan semalam, negara bakal memasuki fasa endemik bermula hujung Oktober ini yang mana kerajaan serta rakyat harus bersama bersiap sedia menjalani kehidupan seharian dengan norma baharu dan hidup bersama Covid-19.
Kata beliau, dalam menuju ke arah fasa endemik, amat penting untuk pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi menentukan SOP yang dapat melindungi nyawa serta kesihatan rakyat, di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Ini kerana, menurutnya, situasi sekarang sudah berbeza dengan tahun lepas, di mana tahun ini kerajaan sudah melaksanakan pemberian vaksin secara besar-besaran kepada rakyat, sekali gus Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
“Harapan saya, perancangan kita selepas ini akan boleh terus ditambahbaik. Saya juga berharap SOP seterusnya yang bakal diumumkan oleh kerajaan kelak lebih bersifat menyeluruh, jangka masa panjang, mudah difahami serta paling penting dapat menjamin tiga tonggak utama iaitu, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette