Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad  memberi jaminan mana-mana dasar dan program sedia ada yang memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan dan disesuaikan mengikut dasar semasa kerajaan.

Beliau berkata, tumpuan dan fokus utama kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah untuk menjaga kebajikan rakyat agar segera keluar dari kemelut kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pertemuannya dengan ketua-ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama semalam, sepakat merancang keutamaan program dan aktiviti yang terfokus untuk dicapai dalam tempoh 100 hari pentadbiran.

“Bagi tujuan itu, saya mencadangkan tema pentadbiran hal ehwal Islam kini iaitu ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’.

“Tema ini diangkat sebagai panduan kepada semua agensi Islam di bawah saya untuk melaksanakan dasar dan program yang menjurus ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan sulungnya sebagai menteri, semalam.

Menurut Idris, bagi memastikan tema pentadbiran itu dapat direalisasikan, beliau akan memberi fokus kepada lima strategi yang dinamakan Inisiatif Mantap.

Jelas beliau, lima strategi itu ialah Inisiatif 1 melibatkan pemantapan mental, jasmani dan rohani, Inisiatif 2 – pemantapan sistem Pendidikan Islam, Inisiatif 3 – pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam.

Dua lagi ialah Inisiatif 4 – pemantapan institusi masjid dan surau serta Inisiatif 5 – pemantapan sosio ekonomi ummah.

Kata Idris lagi, bagi memastikan Inisiatif Mantap itu dapat dilaksanakan dengan segera, beliau telah menetapkan tempohkurang 10 hari bagi semua agensi merangka Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 atau Piagam -C19.

Justeru, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai lead agency untuk menyelaras semua 14 agensi Islam dan mewujudkan sebuah sekretariat khas bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dapat dicapai dalam tempoh masa ditetapkan.

“Saya dan timbalan saya (Datuk Ahmad Marzuk Shary) beserta agensi di bawahnya dalam tempoh dua minggu mulai hari ini akan membuat engagement bersama pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang kaum serta fahaman politik bagi membincangkan solusi terbaik ke arah menjayakan Inisiatif Mantap.

“Saya harap lebih ramai pihak turut bersama kami sama ada dalam kalangan agensi kerajaan, swasta, badan politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya bagi memastikan kita semua dapat keluar dari kesempitan hidup akibat Covid-19 ini.

“Secara ringkas, bolehlah saya nyatakan kita akan meneruskan polisi yang baik di bawah portfolio hal ehwal agama yang telah dibentuk oleh mantan menteri sebelum saya,” katanya.

Menurut beliau, antaranya ialah dasar Manhaj Rabbani yang diperkenalkan dahulu adalah sesuatu yang baik.

“Kami akan melihat ruang penambaikan daripada aspek pelaksanaan bagi memastikan semua agensi kerajaan, swasta dan rakyat dapat menghayati serta menterjemah dasar tersebut dalam bentuk pelaksanaan aktiviti dan program membentuk masyarakat rabbanim” katanya. – MalaysiaGazette