KUALA LUMPUR – Sebahagian besar penerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dikenal pasti datang dari 189 kawasan Parlimen yang kebanyakannya berada dalam kategori luar bandar.
Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penyaluran insentif itu diharap dapat merancakkan ekonomi luar bandar yang turut menerima impak pandemik Covid-19.
“Semoga bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban kewangan dan membantu dalam penyaraan kehidupan penerima dan juga keluarga.
“Pembayaran BKC ini menunjukkan Kerajaan Malaysia komited dalam melaksanakan pakej-pakej bantuan sepertimana yang telah diumumkan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
“Ia juga mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan Perdana Menteri serta memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan dalam melawan pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada Ogos lalu disegerakan bermula 6 hingga 10 September ini bagi Fasa 1.
Seramai 10 juta penerima terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan akan mendapat manfaat itu
BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif PEMULIH selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.
Pada 28 Jun 2021, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH
sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada
rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu sekaligus menyerlahkan komitmen kerajaan mengharungi Covid-19 bersama rakyat.
“Pembayaran berfasa dan bersasar menzahirkan komitmen Kerajaan Malaysia terhadap membantu golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesukaran yang melanda akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette