PUTRAJAYA – Jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad ZolkefliĀ layak diberikan ganjaran sewajarnya meskipun pingat emas yang dimenanginya pada Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.
Perkara itu dilontarkan sendiri oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menyifatkan pencapaian dunia yang direkodkan Ziyad membanggakan negara.
“Saya fikir itu adalah pencapaian, kita kena raikan pencapaian itu. Saya rasa ada kewajaran dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.
“Selalunya di peringkat kerajaan ganjaran itu Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Adalah amat wajar diberi pertimbangan untuk diberi ganjaran sebab dia sudah buat kita bangga, ia tidak boleh diragui,” katanya dalam sidang media di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman yang memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan ganjaran sewajarnya kepada Ziyad.
Megat berkata, perkara itu penting selepas kemenangan Ziyad dalam acara lontar peluru F20 dibatalkan gara-gara protes yang dilakukan oleh kem Ukraine.
Menurutnya, ganjaran sewajarnya perlu diberikan sesuai dengan jasa dan pencapaian luar biasa Ziyad pada Sukan Paralimpik Tokyo bagi menghargai pengorbanannya selama ini.
Reezal Merican juga melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Cheif de Mission (CDM) yang menolak rayuan Malaysia sedangkan Ziyad dibenarkan membuat lontaran semasa temasya sukan itu.
“Saya sampai sekarang masih kecewa dengan keputusan yang dibuat dengan menafikan pingat emas walaupun apa pun alasan, tetapi dia dibenarkan untuk membuat lontaran dan dia baling.
“Lontaran yang dia buat itu secara rasmi direkodkan dan pecah rekod dunia, bukan dia tak lontar, dan tiada masalah teknikal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette