Datuk Takiyuddin Hassan.

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) secara dasarnya telah menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), khususnya di peringkat awal ketika dicadangkan kerajaan Selangor, kata Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata KeTSA, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli negara, memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar HSKLU yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

“Pihak kementerian dan jabatan, agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan negeri Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung laporan pewartaan keluar HSKLU bagi tujuan pembangunan.

Pada 30 Ogos lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian pada sidang Dewan Undangan Negeri dilaporkan berkata kira-kira 536.7 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyah warta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Menurut Hee keputusan berkenaan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Mei lepas dengan jumlah keluasan HSKLU yang ingin dinyah warta itu adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan, iaitu kira-kira 991.90 hektar.

Takiyuddin berharap kerajaan Selangor dapat memastikan kawasan hutan yang telah diwarta keluar tersebut dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari termasuk memastikan kecukupan zon penampan dan semua syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dipatuhi sepenuhnya.

“Ini bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata KeTSA mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan empat kawasan hutan berasingan di Selangor sebagai hutan simpanan kekal.

Ia melibatkan Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar).

“Kementerian ini mengesyorkan agar kawasan gantian tersebut terus dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kawasan berhutan di negeri Selangor dikekalkan,” katanya.

Menurutnya data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sehingga tahun 2019 menunjukkan jumlah kawasan berhutan Negeri Selangor adalah 31.74 peratus.- BERNAMA