Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dicapai menerusi Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dan ia sebagai permulaan.

Menurutnya, mesyuarat bersetuju untuk membuka sektor
pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan

Katanya, destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

“Selain itu, mesyuarat juga telah sebulat suara bersetuju agar Sidang Khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

“Jawatankuasa Khas ini bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang. Pendekatan ini merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh
bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan kepada dua negeri iatu Melaka yang beralih kepada fasa 2 manakala Negeri Sembilan beralih ke fasa 3.

Beliau turut memberitahu, buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0 dan perkara itu menyakinkan negara kini berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan.

Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021. S

“Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021 sekaligus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri lagi, rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

Justeru kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

“Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama Covid-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast