KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Aishah memohon orang ramai mendoakannya selepas kadar oksigennya turun mendadak sehingga tahap 88 setelah dijangkiti Covid-19.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aishah, 56, memberitahu kadar oksigennya pada sebelah pagi tahap 98 dan petugas kesihatan cuba membuka sokongan oksigen kepadanya.
“Ya Allah, mental tak kuat hari ini, bila melihat patient depan I dibawa naik untuk ditidurkan. Pagi tadi oksigen level I 98, mereka cuba nak buka oksigen tapi bila ke tandas dan balik ke katil, oksigen level terus turun mendadak ke 88, terpaksa pakai semula baru naik semula ke 95,” tulisnya.
Pada masa sama, penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu memohon doa supaya dia tidak ‘ditidurkan’ dan takut sekiranya keadaan itu berlaku terhadap dirinya.
“Ya Allah teman-teman tolong doakan I tak sampai ke situ kena intubate, I takut, I masih banyak tanggungjawap pada family yang belum selesai, anak-anak I banyak lagi hal yang tak selesai.
“Sangat mengharapkan doa kawan-kawan. Ampunkan dosa-dosa I sekiranya pernah terkasar kata dan sebagainya,” luahnya.
Sebelum ini, Aishah memaklumkan dirinya telah disahkan positif Covid-19 selepas mengalami demam panas dan semput.
Tidak lama kemudian beliau telah dikejarkan Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat sesak nafas. – MalaysiaGazette