Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang membidas tindakan Ahli Exco Infrastuktur dan Pengangkutan negeri itu, Zairil Khir Johari yang menyatakan bantahan berhubung pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kulim, Kedah ketika pemerintahan kerajaan baharu.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, bantahan pembinaan KXP sepatutnya diusulkan ketika pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan ia umumkan Mukhriz Mahathir ketika beliau menjadi Menteri Besar Kedah pada 2019.

Jelas beliau, tindakan Zairil juga merupakan satu tamparan buat pemimpin PH kerana pembinaan KXP itu merupakan inisiatif mereka.

“Mengapa sekarang baru nak bangkitkan isu ini? Sepatutnya Zairil nyatakan bantahan kepada Lim Guan Eng, Anthony Loke Siew Fook yang masing-masing merupakan Menteri Kewangan dan Pengangkutan ketika itu.

“Saya percaya sehingga hari ini, Guan Eng dan Chow Kon Yeow (Ketua Menteri Pulau Pinang) tidak membantah pembinaan KXP.

Sehubungan itu, Zairil perlu tanya soalan atau nyatakan bantahannya berkaitan pembinaan KXP kepada pemimpin PH bukan kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri, Zairil meluahkan rasa bimbang berhubung pembinaan KXP yang didakwa akan mendatangkan kesan negatif kepada kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Tambah Tong Keong, Parti Gerakan Pulau Pinang kekal dengan pendirian bantah pembinaan KXP sejak dulu hingga sekarang. – MalaysiaGazette