Kadar cukai GST 6% digantikan dengan cukai SST sebanyak 10% semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di salah sebuah pusat membeli belah sekitar Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JULAI 2018.

 

KUALA LUMPUR – Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ini kerana, kerajaan sedang menumpukan fokus untuk memulihkan ekonomi negara.

Ia termasuk memperkenalkan cukai-cukai baharu dan mengembalikan semula cukai-cukai lama.

”Oleh itu, sekarang bukan masa yang tepat untuk memperkenalkan semula GST kerana ini boleh memberi kesan kepada pemulihan ekonomi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga sedang meneliti pelbagai pendekatan untuk meningkatkan pendapatan negara termasuk menangani isu ketirisan hasil.

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

GST kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem SST bermula 1 September 2018.

Kadar cukai semasa bagi cukai jualan adalah 5 peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan ialah 6 peratus.

Dalam kenyataan pra-Bajet 2022 baru-baru ini, Kementerian Kewangan berkata, bagi tahun 2021, sasaran kutipan hasil cukai adalah berjumlah RM162.1 bilion, yang merupakan 10.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Ia merangkumi kutipan Cukai Langsung sebanyak RM120.0 bilion dan Cukai Tidak Langsung sebanyak RM42.1 bilion.
30.

Namun sehingga Julai 2021, kutipan Cukai Langsung adalah sebanyak RM67.4 bilion atau 56.2% daripada sasaran, manakala Cukai Tidak Langsung
mencatat kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59% daripada sasaran.

Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menjejaskan aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain menyebabkan pertambahan mereka yang kehilangan pendapatan. – MalaysiaGazette