Sebahagian jemaah wanita yang hadir pada Majlis Sambutan Israk Mikraj Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, foto IQBAL BASRI, 14 APRIL 2018

TAHUN ini kita menyambut kemerdekaan yang ke 64. Bermakna telah lebih setengah abad negara mencatatkan sejarah. Kalau dikira umur manusia, ia sudah dikategori sebagai warga emas.

Tetapi apakah identiti wanita yang kita tunjangi. Siapakah individu yang kita contohi? Sejarah Islam telah memaparkan barisan tokoh serikandi sahabiat yang gemilang. Yang sentiasa mengalir darah perjuangan.

Lihat sahaja Saidatina Khadijah yang sentiasa berjuang berada di belakang suaminya baginda SAW. Sentiasa menjadi penenang baginda SAW dan pendokong kuat perjuangan baginda Rasul SAW.

Saidatina Fatimah yang hidup bersama Saidina Ali dengan penuh ikhlas walau dalam kemiskinan. Seorang isteri yang taat dan tetap berada di belakang suami walau apa yang terjadi.

Sumayyah yang mengorbankan diri mempertahankan akidah,  Tidak takut dengan ugutan dan ancaman. Beliau disiksa dengan begitu dahsyat dan menjadi wanita pertama syahid kerana agama.

Khaulah al -Azwar wanita yang mahir berpedang dan berkuda,  pahlawan muslimat paling handal dalam sejarah Islam. Khaulah adalah sosok mujahidah yang berani mirip  Khalid bin Walid dalam kepahlawanannya. Namanya lekat di dalam sejarah penaklukan negeri-negeri Syam.

Arwa binti Abdul Muthalib, ibu saudara Rasulullah yang wanita yang paling gigih membela Rasulullah SAW sejak sebelum memeluk Islam lagi. Malah ketegasannya terserlah pada ketika anakandanya Tulaib bin Umair ditangkap oleh oleh Quraisy Makkah, dan ditanya kepada Arwa binti Abdul Muttalib: “Mengapa kamu biarkan si Tulaib menjadi pengikut Muhammad hingga dia menjadi sasaran kejahatan daripada kaum Quraisy Makkah?” Tanpa rasa takut sedikit pun, Arwa menjawab dengan bersahaja: “Tidak ada hari yang lebih baik bagi anakku selain hari yang dia memukul Abu Jahal untuk membela anak bapa saudaranya itu (Muhammad), kerana sememangnya Muhammad ialah Rasul yang membawa kebenaran daripada Allah.”

Rufaidah al-Anshariyah terkenal sebagai jururawat tentera Islam dan terlibat dalam dua peperangan iaitu Perang Khandaq dan Perang Khaibar.  Ia memeluk Islam dan berbaiat kepada Nabi setelah berhijrah ke kota Madinah. Rufaidah dikenal sebagai sahabiah cerdas yang gemar membaca dan mencatat Al-Quran. Beliau berasal dari keluarga yang kaya raya. Semenjak masuk Islam, harta kekayaannya banyak didermakan untuk membantu perjuangan Rasulullah.

Mu’adzah Al-Adawiyah, seorang ahli ibadah di zaman tabi’in. Suaminya syahid di medan perang dan beliau hidup sendiri hingga wafat pada usia 83 tahun. Mu’adzah adalah pakar hadis yang banyak meriwayatkan hadis dari Aisyah RA dan Ali bin Abu Talib. Dia termasuk perawi yang dipercayai  yang mencapai tingkat thiqah dan hujjah dalam ilmu hadis.

Malah ramai lagi tokoh-tokoh wanita terbilang  di dalam lipatan sejarah. Itulah identiti mereka. Identiti wanita kelas pertama. Jelas matlamat hidup, ‘izzah dan bangga dengan agama, berjiwa kental dan tahan ujian. Akidah menjadi teras sumber utama yang memandu kehidupan.

Lalu identiti bagaimanakah kita wanita muslim Malaysia?

Identiti adalah sifat atau ciri-ciri atau watak asli yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu bangsa. Usaha pembentukan jati diri adalah merupakan satu usaha yang berterusan agar ia kekal sebati dan utuh dalam diri setiap individu. Dalam globalisasi dan dunia tanpa sempadan seperti hari ini, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk membentuk identiti dan jati diri agar selari dengan kehendak syariat Islam. Keimanan yang utuh dalam diri amat diperlukan supaya tidak terjebak dengan cara fikir yang terpesong, cara hidup yang penuh kebaratan dan akhlak yang keji.

Apakah erti kemerdekaan kiranya kita masih menjadikan barat sebagai kayu ukur kemajuan. Apakah erti kemerdekaan kiranya kita hilang nilai-nilai ketimuran dalam hidup seharian. Apakah erti merdeka jika kita masih berkiblatkan barat dalam kompas kehidupan dan tidak mengambil Islam sebagai panduan.

Untuk itu, marilah bersama-sama Wanita Isma dalam perjuangannya membentuk jati diri wanita muslimah sejati. Menerusi program-program yang kami susun di setiap cawangan kami iaitu Usrah Wanita, Rehal Wanita, Suri Idaman, Seminar Wanita Islam, program wanita muda di Kelab Serikandi Iffah dan pelbagai lagi program menarik. Kami komited di dalam misi kami sebagai sebuah gerakan wanita yang memimpin masyarakat dengan memperkasakan jati diri wanita untuk menyelamatkan ummah dan memartabatkan Islam.

OLEH: Dr. Suriani Sudi (Ketua Wanita Isma)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast